KISAH USAHAWAN KEREPEK PISANG YANG GAGAL


Al kisah maka tersebutlah kisah..

Sang kancil bercita-cita mahu jadi orang kaya. Pelbagai usaha dilakukan dan dicuba seiring dengan impian besarnya.

Antara usaha yang dilakukan oleh Sang Kancil ialah dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan. Dia bercita-cita agar satu hari nanti perniagaannya akan memberi laba yang besar dan menzahirkan impian sebagai orang kaya.

Perniagaan pertama yang cuba diusahakan ialah menjual kerepek pisang. Memandangkan lokasi tempat tinggalnya berdekatan dengan sebuah kilang pemprosesan kerepek pisang yang lazat dan mempunyai harga yang berpatutan.

Maka Sang Kancil membungakan usaha agar dapat dinikmati harumnya satu hari nanti.

Jeng! Jeng! Jeng!

Malapetaka tiba tanpa sedar. Setelah mendapat tempahan dari ramai pelanggan malah sudah ada yang membuat bayaran, Sang Kancil tidak dapat menghantar tempahan yang sudah dipersetujui.

Kilang pemprosesan kerepek pisang sudah menjual ke semua stok yang ada kepada pemborong yang datang setiap bulan untuk sekian lama.

Sang Kancil kecewa.
Sang Kancil sedih.

Terpaksa dipulangkan semula wang tempahan. Sang Kancil menanggung malu kepada pelanggan-pelanggan yang ada. Terpaksalah Sang Kancil mencari penyelesaian lain untuk teruskan usaha niaganya.

***

Haha! Amacam? Okay ke bila saya merapu.

Sebenarnya kisah Sang Kancil tu adalah berdasarkan pengalaman saya ketika mula-mula berniaga dahulu. Selepas suami berhenti kerja dan memilih untuk cuba berniaga, kami alami kesempitan kewangan yang meruncing.

Kebetulan pula anak ke 4 baru sahaja lahir. Dari Johor, kami berpindah ke Melaka untuk mencuba mencari rezeki di tempat baru. Kami menumpang nasib di Serkam Darat, Melaka.

Long-story cut short.

Ketika itu sudah hampir bulan Ramadhan. Dan pastinya selepas itu akan tiba Aidilfitri. Duit nak pakai banyak, maklumlah keluarga agak besar.

Jadi kami cuba menjual kerepek pisang. Sesuai sangat dengan timing ketika itu, musim perayaan yang bakal tiba.

Pelbagai aktiviti pemasaran yang kami usahakan. Antaranya ialah memberikan tester semasa acara sukan di sekolah anak. Strateginya ialah, kalau nak tester percuma (sebungkus kerepek pisang) kena isi borang dulu.

Kami sudah diajar untuk kumpul database.

Memang dapat sambutan. Kerepek pisang pun berkualiti, harga pun sangat berpatutan. Kami dapat order dari banyak tempat hingga ke Putrajaya, Shah Alam dan sebagainya.


Memang kami gunakan medium online terutamanya Facebook untuk membuat hebahan tentang perniagaan kami.

Namun sayang seribu kali sayang.

Kami tak sedar bahawa.. Kilang tersebut sudah ada regular. Pemborong yang memang akan datang. Jadi tak dapatlah kami nak beli kerepek pisang yang sudah kami terima tempahan yang keseluruhannya lebih dari 100kg.

Kegagalan hanya mendekatkan kita kepada kejayaan. Kami teruskan langkah dengan berjualan cheesetart pula.

Begitulah kehidupan..

Tak semua yang kita dah rancang rapi itu akan berlaku sempurna. Malah ada ketika ia berubah atas faktor semasa dan persekitaran.

0 comments